Wednesday 29 April 2015

Permainan Tradisional: Ting-ting Bunga Kemboja

Permainan Ting-ting Bunga Kemboja amat sesuai dimainkan oleh kanak-kanak lelaki. Permainan ini bertujuan untuk menguji kecekapan pemain mengimbang ikatan bunga kemboja dengan menggunakan belakang kaki. Permainan ini hampir sama dengan Permainan Lawi Ayam atau Ting-ting Bulu Ayam. Bunga Kemboja ialah bunga yang berwarna putih dan amat mudah didapati. Ia juga sering ditanam di halaman rumah. 

Tempat
Di kawasan padang permainan atau halaman rumah yang rata.

Peralatan

Tali atau getah, sejumlah bunga kemboja (bunga kemboja yang diikat dengan tali atau getah sebanyak 10 kuntum seikat).

Pemain
Jumlah pemain tidak dihadkan. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki yang berumur antara 10 hingga 12 tahun.  

Peraturan Permainan
  1. Pemain boleh menimbang bunga Kemboja dengan menggunakan kedua-dua belah kaki sama ada kaki kiri atau kaki kanan. Bagaimanapun timbangan dilakukan melalui belakang kaki sahaja. 
  2. Pemain tidak dibenarkan meneruskan permainannya (timbangan) jika bunga kemboja jatuh ke tanah. 
  3. Jumlah timbangan dikira selagi bunga kemboja tidak jatuh ke tanah. 
  4. Permainan dijalankan dalam satu pusingan sahaja. 
  5. Anggota badan yang lain tidak boleh digunakan semasa membuat timbangan kecuali belakang kaki sahaja. 
  6. Setiap pemain mestilah mengikut peraturan permainan.

Langkah-langkah Permainan
 

  1. Undian dilakukan bagi menentukan pemain yang akan bermain dahulu. Cara undian dilakukan melalui "Mencabut Undi".
  2.  Sebelum permainan dimulakan, seorang pemain dipilih untuk mengira timbangan pemain. Pemain yang memulakan permainan akan membuat timbangan pemain. Pemain yang memulakan permainan akan membuat timbangan bunga kemboja menggunakan belakang kaki. 
  3. Pemain boleh bertukar-tukar kaki semasa menimbang. Namun begitu, bunga kemboja tidak boleh terlepas jatuh ke tanah. Jika bunga kemboja pemain tersebut terjatuh, maka permainannya ditamatkan dan pemain lain pula mengambil giliran. 
  4. Jumlah timbangan dikira sehinggalah bunga kemboja pemain jatuh ke tanah.
  5. Permainan diteruskan hinggalah semua pemain telah membuat timbangan. Permainan ditamatkan setelah semua pemain membuat timbangan masing-masing.
  6. Pemain yang paling banyak membuat timbangan akan dikira sebagai pemenang. Permainan ini boleh diteruskan atau ditamatkan atas persetujuan semua pemain. 

Cara Menentukan Kemenangan
  • Kemenangan ditentukan kepada pemain yang paling banyak membuat timbangan.
  • Jika pertandingan dibuat secara kumpulan, kumpulan yang paling banyak mengumpul timbangan diisytiharkan sebagai pemenang.
  • Jumlah timbangan dicampur dari setiap ahli kumpulan.
 
*Catatan: Semua gambar diambil dari Google Images (https://images.google.com/)